ARTIKEL

BERCAKAP…Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia Mohd Zaib Mat Yunus

Pekebun Durian Sarawak Digalak Sertai Penanaman Musang King

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Komuniti Sarawak khususnya pekebun durian digalakkan menceburi bidang penanaman durian premium jenis Musang King sebagai sektor pertanian utama. Ini berikutan Sarawak berpotensi menjadi pusat pengeluaran baharu dalam industri itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Mohd Zaib Mat Yunus berkata industri durian Musang King kini semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi terutamanya di kawasan Serian, Padawan, Bau dan Betong.

“Saya ingin mengajak semua koperasi di Sarawak agar merebut peluang dalam sektor pertanian bernilai tinggi seperti Musang King. Komoditi ini bukan saja menjanjikan pulangan ekonomi besar malah mampu mengubah landskap sosioekonomi anggota koperasi sekiranya diusahakan secara berkelompok terancang dan berdaya saing.

“Melihat potensi eksport yang kian meningkat ditambah sokongan dasar kerajaan serta permintaan pasaran yang stabil, saya percaya inilah masa untuk koperasi melangkah lebih jauh dan menjadi pemain utama dalam rantaian pemasaran Musang King di negeri ini.

“Saya percaya koperasi mampu muncul sebagai peneraju dalam bidang ini sekali gus mampu memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian agro-makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Bicara Ilmu 2025-Pemerkasaan Koperasi Melalui Komoditi Durian Musang King di Hotel Roxy hari ini.

Menurutnya, Sarawak berpotensi menjadi pengeluar utama durian Musang King memandangkan negeri ini mempunyai kelebihan tersendiri terutama dari segi kawasan tanah pertanian yang luas berbanding Semenanjung.

Selain itu katanya, iklim hutan hujan tropika di negeri ini juga berpotensi mempercepatkan aktiviti penanaman itu di samping mendapat sokongan Kerajaan Negeri melalui inisiatif sektor agro-makanan.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohd Zaib menegaskan ia sebagai salah satu usaha memperkukuhkan kefahaman koperasi terhadap landskap sebenar industri Musang King di negara ini.

Tambahnya, program ini diharap menjadi platform kepada pembentukan koperasi yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia bergerak ke fasa penguasaan rantaian nilai industri Musang King secara lebih mampan, terancang dan berimpak tinggi.

Menurutnya, industri durian Musang King kini menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dengan nilai eksport durian Malaysia mencecah lebih RM1.2 bilion pada 2023. Lebih 95 peratus daripada keseluruhan eksport durian segar serta sejuk beku negara adalah ke pasaran China.

“Permintaan tinggi daripada China dan negara serantau menjadikan Musang King sebagai komoditi strategik jangka panjang yang perlu diurus secara lebih sistematik.

“Bagi koperasi di Sarawak, penglibatan dalam rantaian nilai Musang King membuka peluang mengintegrasikan pengeluaran dari kawasan luar bandar ke pasaran utama secara lebih tersusun,” jelasnya.

Dalam konteks pengeluaran, beliau mendedahkan Pahang kekal sebagai negeri pengeluar Musang King terbesar di Malaysia meliputi kawasan seluas lebih 14,000 hektar dan menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan bekalan negara. Ia diikuti Perak sebagai kawasan pengeluaran utama dan Kelantan yang semakin aktif membangunkan ladang besar-besaran sekali gus menjadi pengeluar semakin penting.

CENDERAMATA…Mohd Zaib (tengah) menyerahkan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU