SEBUYAU: Pekebun kecil kelapa sawit disarankan untuk mendaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (LMSM) untuk mendapat bantuan dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementeriannya telah membantu hampir 95 peratus pekebun kecil ini dengan memperolehi sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Katanya, pekebun kecil ini akan dibantu LMSM yang akan membekal pelatih bagi melatih mereka dengan latihan dan amalan terbaik pertanian.
“Usaha LMSM ketika ini untuk memastikan anda semua akan melaksanakan amalan pertanian yang baik dan penuhi patuhan kepada Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Ini adalah perlu sebab ketika ini, sekiranya tanaman tidak disijilkan di bawah MSPO, tiada kilang yang hendak ambil dan memproses produk kita, sebab dunia ketika ini mahukan produk yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Timbang Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) Asajaya Berhad, Kampung Seruyuk di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shahfizan Kepli, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan Adun Simunjan Awla Dris.
Selain itu Fadillah berkata, pekebun kecil juga boleh mendaftar untuk mendapatkan geran tanaman semula pokok sawit bagi pokok yang berusia lebih 25 tahun.
Katanya, pekebun kecil ini akan mendapat bantuan sama ada melalui geran ataupun pinjaman mudah dari Agrobank yang dibayar semula selepas lima tahun penanaman.
Tambahnya, pinjaman mudah turut disediakan kepada pemohon termasuk bantuan input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya.




