KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sarawak menaja penyertaan 63 anak Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Sarawak (Peryatim) dalam Pekema EV-Fi Run 2026 pada 20 September ini.
Presidennya, Datuk Ismail Abang Saufi berkata, penyertaan anak-anak Peryatim itu merupakan antara inisiatif kebajikan sempena penganjuran sulung larian amal berkenaan.
“Program ini adalah antara beberapa aktiviti yang kami jalankan, termasuk menaja 63 anak Peryatim untuk turut serta dalam larian ini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa agensi dan pertubuhan mewakili golongan orang kurang upaya (OKU), termasuk pengguna kerusi roda, turut dijemput menyertai program berkenaan.
Katanya, Pekema Sarawak turut merancang penyerahan sumbangan kepada beberapa badan kebajikan terpilih pada hari acara itu.
“Insya-Allah, beberapa kenamaan yang dijemput akan turut hadir dan kita akan mengadakan simbolik penyerahan sumbangan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, penganjuran sulung Pekema EV-Fi Run mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 2,000 peserta dijangka menyertainya.
“Ini merupakan kali pertama Pekema Sarawak mengadakan larian amal dan larian EV.
Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan jumlah peserta mencecah hampir 2,000 orang,” katanya.
Acara berkenaan akan berlangsung di Foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kenderaan elektrik dan cabutan bertuah membabitkan 50 hadiah.
“Cabutan bertuah ini antara tarikan utama yang membuatkan peserta teruja untuk hadir menyertai Pekema EV-Fi Run,” katanya.
Penganjuran itu diharap dapat menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, selain memperkukuh agenda kebajikan serta memperkenalkan kenderaan elektrik kepada masyarakat.



