BAU: Seorang pekerja pembersihan mengalami kerugian RM6,440 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman RM10,000 yang diiklankan menerusi Facebook, sedangkan wang pinjaman itu tidak pernah diterima.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa berusia 40 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman kewangan peribadi atas nama ‘myringgitcash’ ketika berada di tempat kerjanya di SMK Bau pada 28 September lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan untuk mengisi butiran peribadi sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘myringgit10k’.
“Dalam kumpulan itu, mangsa berurusan dengan tiga individu yang mengaku sebagai pentadbir sebelum dimaklumkan permohonan pinjaman RM10,000 diluluskan pada 29 September lalu.
“Mangsa kemudian diminta membuat beberapa bayaran terlebih dahulu kononnya bagi tujuan memproses kemasukan wang pinjaman ke dalam akaunnya,” katanya.
Mohd Haide berkata, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM6,440 kepada dua akaun bank berbeza dalam tempoh dua hari.
“Pada 30 September, mangsa membuat bayaran RM1,100, diikuti RM2,200 dan RM3,140 pada 1 Oktober.
“Bagaimanapun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tidak menerima sebarang wang daripada pinjaman RM10,000 yang dipohon sebelum tampil membuat laporan polis pada 2 Oktober lalu.
Katanya, semakan rekod mendapati dua daripada tiga nombor telefon yang digunakan suspek mempunyai satu laporan polis berkaitan masing-masing, manakala satu lagi nombor tidak mempunyai rekod laporan.
“Semakan terhadap dua akaun bank yang menerima wang mangsa pula tidak menemukan sebarang rekod laporan berkaitan.
“Mangsa turut menghubungi talian 997 pada 2 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.


