Pekerja swasta meninggal dunia, kenderaan hilang kawalan

MIRI: Seorang pekerja swasta meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di jalan Bypass Taman Tunku, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 39, disahkan maut oleh pihak keluarganya sekitar jam 10.35 pagi tadi di Hospital Miri.

Menurutnya, kemalangan berlaku sekitar jam 11.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah perumahan Taman Tunku menghala ke pusat bandar.

Katanya, kenderaan Nissan Navara dipandu mangsa pada awalnya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi tengah jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, kenderaan tersebut kemudian berpusing dan terbalik menyebabkan mangsa terpelanting keluar ke kawasan bengkel yang berhampiran.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah ketika itu telah dikejarkan ke hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut kemudiannya  disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Sarawak