ARTIKEL

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyerahan dokumen rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Anthony Loke kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas. | Foto TVS

Pelabuhan Bintulu rasmi jadi pelabuhan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelabuhan Bintulu secara rasmi bertukar status daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri berkuat kuasa 1 September lalu, sekali gus menandakan pengambilalihan pengurusan pelabuhan itu oleh Kerajaan Sarawak.

Peralihan berkenaan menyaksikan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dibubarkan, manakala Bintulu Port Authority (Sarawak) (BPA) mengambil alih peranan sebagai pihak berkuasa Pelabuhan Bintulu.

Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, BPA merupakan badan berkanun negeri yang ditubuhkan pada 1 September 2024 di bawah Port Authorities Ordinance, 1961.

Menurut kementerian itu, bermula tarikh sama, semua harta, hak, kepentingan dan obligasi LPB dipindahkan kepada dan diletak hak pada Kerajaan Sarawak.

Pertukaran status ini berkuat kuasa susulan penetapan 1 September 2026 sebagai tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].

Kementerian Pengangkutan Malaysia menetapkan tarikh kuat kuasa kedua-dua akta itu menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U. (B) 313 dan P.U. (B) 314 bertarikh 28 Ogos 2026.

Penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak turut dilakukan menerusi penyerahan beberapa dokumen berkaitan pengambilalihan itu.

Dokumen berkenaan termasuk Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026, Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026 serta penetapan tarikh kuat kuasa Akta 858 dan Akta 859.

Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu merupakan proses yang bermula sejak 2023 selepas Premier Sarawak mengumumkan hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih pelabuhan itu pada 30 Januari tahun berkenaan.

Cadangan mengambil alih Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri kemudiannya diluluskan Kabinet Sarawak pada 23 Februari 2023.

Pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan persetujuan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024.

Pada 17 Julai 2024, dua rang undang-undang berkaitan pengambilalihan itu, iaitu Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024, dibentangkan serta diluluskan di Dewan Rakyat.

BPA kemudian ditubuhkan pada 1 September 2024 bagi mengambil alih fungsi pengawalseliaan Pelabuhan Bintulu selepas pertukaran status pelabuhan itu.

Pada 4 Februari 2026, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencapai persetujuan nilai pengambilalihan LPB berjumlah RM1.8 bilion.

Kedua-dua kerajaan kemudiannya memeterai perjanjian penyempurnaan pada 21 Jun 2026, disusuli Majlis Penyerahan Cek daripada Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan di Bintulu.

Pada 28 Ogos lalu, pewartaan penetapan tarikh kuat kuasa Akta 858 dan Akta 859 dibuat, selain Majlis Perpisahan LPB oleh Kerajaan Persekutuan.

LPB sebelum ini ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 sebagai badan berkanun Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Sejak penubuhannya, LPB bertanggungjawab ke atas pembangunan, pemasaran dan penyediaan perkhidmatan pelabuhan yang lengkap serta cekap bagi menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pusat pengangkutan dan pengedaran dalam rangkaian BIMP-EAGA.

Pelabuhan Bintulu dibina sebagai pelabuhan air dalam bagi menyokong perkembangan kegiatan perindustrian di Bintulu, khususnya industri gas asli cecair (LNG).

Kedudukan strategiknya di laluan antara negara Timur dan Eropah turut menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan antarabangsa serta laluan utama eksport LNG dari Malaysia.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU