
KUCHING: Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara khususnya di bandar raya Miri, kata Datuk Majang Renggi.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) itu berkata Kerajaan Sarawak sedia maklum mengenai kepentingan dan sumbangan pelabuhan dalam pembangunan negeri.
“Pelabuhan adalah pengangkutan optimum yang membolehkan capaian ke darat dan perairan, maka kementerian kami telah mengemukakan beberapa cadangan untuk MPA dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
“Ini termasuk pendalaman sungai Kuala Baram untuk memastikan keselamatan setiap kapal yang berlayar di laluan itu.
“Melalui cadangan ini, MPA mampu meningkatkan daya saing dan kecekapan perkhidmatan mereka, seterusnya merangsang pembangunan industri dan ekonomi di bandar raya Miri, khususnya bahagian utara Sarawak,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan MPA 2022, malam tadi.
Beliau yang hadir pada majlis tersebut mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengucapkan tahniah kepada MPA atas penganjuran majlis berkenaan dalam menghargai kakitangan serta semua pihak yang terlibat dalam operasi agensi itu selama ini.
Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan 2022 MPA diadakan bagi menghargai serta mengiktiraf sumbangan bekas ahli lembaga pengarah, pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Malah, anugerah kepada kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan MPA, penghargaan kepada pelanggan MPA, rakan strategik serta agensi MPA turut diselitkan sepanjang majlis berlangsung.

