LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan pelabur yang berminat untuk melabur dalam penjanaan tenaga solar di Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun, Murum dan seterusnya Baleh apabila siap kelak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan susulan daripada kejayaan penjanaan tenaga solar di HEP Batang Ai sedia ada yang mencapai 50 megawatt (mW).
Menurutnya, Sarawak Energy dijangka akan meningkatkan lagi pengeluaran tenaga sebanyak 120 mW.
“Ini bermakna jumlah tenaga suria yang dihasilkan akan bertambah sehingga 170 mW dan ini akan menjadi yang terbesar di Malaysia.
Selepas ini, di Bakun kita sudah ada pelabur yang berminat untuk melabur dalam penjanaan tenaga solar.
Saya tidak boleh menamakan syarikat itu lagi tetapi kini rundingan sedang berlangsung untuk projek tenaga solar di Bakun serta Murum dan apabila Baleh siap, ada juga pihak yang berminat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai: 40 Tahun Menjana Tenaga Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya, campuran tenaga boleh diperbaharui Sarawak akan menggabungkan kuasa hidro dengan solar, termasuk solar terapung di atas takungan dan panel suria di darat bagi melindungi penggunaan tanah.
Tambahnya lagi, biojisim dan biogas juga sedang diterokai sebagai bahan mentah dengan membina projek perintis seperti kemudahan di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Lubok Antu.
“Walaupun Sarawak Energy semakin berkembang dan kita telah meminda undang-undang, penjanaan kuasa juga bukan 100 peratus oleh Sarawak Energy semata-mata memandangkan ada juga penglibatan sektor swasta.
Namun dari segi pengagihan kuasa, ia masih menjadi monopoli Sarawak Energy.
Dengan kata lain, hidro, solar, biojisim dan biogas akan membentuk sumber tenaga mampan Sarawak untuk masa hadapan,” ujarnya.
Sehubungan itu, dengan perkembangan ini, Abang Johari yakin sasaran untuk mengeluarkan sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt atau lebih menjelang 2035 boleh dicapai.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Pengerusi Sarawak Energy Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh turut hadir sama.



