KUCHING: Tanjung Embang berpotensi menjadi lokasi pembangunan pusat data pintar di Sarawak menerusi cadangan pelaburan sebuah syarikat global bertaraf tinggi yang masih dalam pertimbangan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata nama pelabur berkenaan belum dapat didedahkan kerana cadangan itu masih dalam peringkat perancangan.
“Memang terdapat cadangan untuk melabur dalam pusat data pintar. Bagaimanapun, kita belum dapat mendedahkan nama pelabur pada peringkat ini kerana syarikat berkenaan ialah syarikat tersenarai awam bertaraf tinggi di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Sarawak 2.0 (SUF 2.0) di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Mengulas laporan potensi pelaburan teknologi bernilai AS$50 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abang Johari berkata beliau hanya dapat mengesahkan perkara berkaitan perancangan di Sarawak.
“Saya tidak tahu mengenai Semenanjung Malaysia. Apa-apa yang saya tahu ialah Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada nilai pelaburan berkenaan boleh mencecah AS$50 bilion, beliau berkata angka itu belum dapat disahkan, walaupun nilainya mungkin menghampiri jumlah tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa Sarawak sedang beralih kepada ekonomi baharu dengan memberi tumpuan kepada teknologi canggih serta pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di Sarawak merupakan antara usaha menyediakan anak negeri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi.
“Teknologi paling canggih akan datang ke Kuching,” katanya, sambil menekankan kepentingan mempersiapkan tenaga kerja tempatan untuk menyokong perkembangan ekonomi baharu negeri ini.
Abang Johari turut menyentuh mengenai pelabur yang datang ke Kuching bagi meneroka peluang pelaburan berskala besar termasuk cadangan yang dikaitkan dengan nilai AS$50 bilion.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son, mengenal pasti beberapa lokasi di Sarawak, termasuk Kuching, serta di Semenanjung Malaysia bagi potensi pelaburan teknologi bernilai AS$50 bilion.
Pelaburan yang dicadangkan itu dijangka merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data, sekali gus menyokong pengembangan infrastruktur digital di rantau ini.
Awal bulan ini, SoftBank Group Corp, Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menandatangani perjanjian rangka kerja bagi meneroka pembangunan platform infrastruktur AI dan digital di Sarawak.




