KUCHING: Perancangan pembangunan secara berperingkat menerusi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang akan dilaksanakan di Pelagus sebagai usaha memajukan kawasan berkenaan.
Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Cerisologo Sabut berkata, pelan jangka pendek akan meliputi tempoh satu hingga dua tahun.
“Manakala, pelan bagi jangka masa sederhana mengambil masa sekitar tiga tahun, diikuti jangka panjang melebihi lima hingga 10 tahun.
“Antara aspek yang akan diberi keutamaan termasuk pembangunan sosioekonomi, selain infrastruktur dan kemudahan utiliti di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima watikah pencalonan GPS, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan akan turun padang serta berbincang dengan ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berkaitan di peringkat Pelagus.
“Untuk melaksanakan perancangan yang inklusif, kita mesti mempunyai data. Jadi, saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan semua agensi kerajaan dan kementerian berkaitan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pengalaman selama 33 tahun berkhidmat dengan kerajaan dapat membantu beliau merancang pembangunan kawasan itu.
Katanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kapit selama lebih enam tahun dan di Pejabat Daerah Kanowit sekitar setahun, selain pernah bertugas di beberapa kementerian.
“Pengalaman dan pengetahuan sepanjang tempoh perkhidmatan itu akan dimanfaatkan bagi membantu membangunkan Pelagus supaya sama maju dengan kawasan lain,” katanya.

