ARTIKEL

Pelajar jauh dari sekolah digalak tinggal di asrama elak ponteng

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Pelajar yang tinggal jauh dari sekolah digalakkan untuk menetap di asrama bagi memastikan kehadiran yang konsisten serta mengelakkan masalah ponteng.

Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok, Abang Hamdani Abang Abu Bakar berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan besar setiap bulan dan tahunan bagi menampung keperluan pelajar asrama.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelajar yang menetap jauh dari sekolah wajar memanfaatkan kemudahan tersebut demi kelangsungan pembelajaran yang lebih teratur.

MISSIS ARIS ketika menyampaikan nasihat kepada komuniti yang hadir Program Permuafakatan Ziarah Cakna @ Lan Ngabas calon SPM 2026 di Kampung Kupang, Saratok. | Foto: OSMAN RAZALI

“Sebagai contoh, pelajar dari Kampung Kupang yang diketahui umum terletak jauh dari sekolah, selain berdepan keadaan jalan yang kurang memuaskan serta perlu menyeberangi sungai, sudah tentu menghadapi kesukaran untuk berulang-alik setiap hari.

“Apabila mereka memilih untuk bersekolah secara harian dalam keadaan sedemikian, ia boleh menjadi permulaan kepada masalah ketidakhadiran yang kerap.

“Jadi, kita enggan perkara ini berlarutan, justeru pelajar digalakkan tinggal di asrama supaya dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Permuafakatan Ziarah Cakna @ Lan Ngabas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Kampung Kupang.

Tambah beliau, isu ketidakhadiran ke sekolah merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi akademik pelajar.

“Perkara ini menjadi kebimbangan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta kepimpinan masyarakat setempat.

“Oleh itu, ibu bapa dan pelajar sendiri perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini dengan memastikan kehadiran ke sekolah sentiasa terjaga.

“Kita berharap lebih ramai pelajar memilih untuk tinggal di asrama agar dapat bersama-sama mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM yang bakal menjelang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Kampung Kupang, Penghulu Missis Aris turut menekankan kepentingan peranan komuniti dalam memastikan kehadiran pelajar ke sekolah.

“Aspek kehadiran tidak boleh dipandang ringan kerana setiap kali pelajar ponteng, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

Jika berulang, jurang pembelajaran akan semakin besar.

“Justeru, saya menyeru barisan kepimpinan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta seluruh komuniti untuk berganding bahu membantu memastikan anak-anak hadir ke sekolah.

“Ini bukan sahaja tanggungjawab guru atau ibu bapa, tetapi memerlukan usaha bersama bagi melahirkan generasi yang berjaya dan berakhlak mulia,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh Yang Dipertua PIBG SMK Bahasa Malaysia Saratok, Pemanca Sahari Gani itu telah disertai seramai 25 calon SPM 2026 bersama ibu bapa masing-masing.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU