PAKAN: Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) merangkap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM34,500 kepada 69 pelajar menerusi Dana Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) dalam satu majlis di sini, kelmarin.


Daripada jumlah itu, 43 penerima merupakan pelajar peringkat ijazah, 25 mengikuti pengajian diploma manakala seorang lagi berada di peringkat sarjana.
Berucap pada majlis berkenaan, beliau menzahirkan harapan agar bantuan tersebut dapat meringankan beban kewangan pelajar serta menjadi pemangkin untuk mereka terus cemerlang dalam akademik dan seterusnya mengangkat nama Julau, amnya Sarawak.
Datuk Larry turut menekankan kepentingan melanjutkan pengajian di universiti milik Sarawak, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, kerajaan Sarawak kini menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif termasuk peluang pendidikan percuma bagi anak Sarawak yang mengikuti kursus STEM di institusi pengajian tinggi milik negeri ini.
Menurut beliau, memilih untuk belajar di Sarawak bukan sahaja memberi kelebihan dari segi insentif, malah lebih praktikal kerana dekat dengan keluarga serta menjimatkan kos perjalanan, terutama ketika musim perayaan.
“Pelajar dan ibu bapa perlu berbincang secara mendalam sebelum membuat keputusan. Banyak manfaat dapat dinikmati jika kita menyokong dan memanfaatkan institusi pengajian di negeri sendiri,” katanya.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkasa pendidikan anak-anak di kawasan Julau serta kawasan sekitarnya.

