MIRI: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Tukau di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Miri kira-kira jam 8.44 pagi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, laporan berhubung kemalangan maut yang membabitkan kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan motosikal ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan bergerak dari arah bandar Miri menuju Jalan Bakam sebelum memasuki simpang kanan di Jalan Tukau,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, ketika kenderaan itu memasuki simpang berkenaan motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian rusuk kanan kenderaan terbabit.
Akibat pelanggaran itu katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Susulan kejadian, pemandu berusia 27 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.



