SHAH ALAM: Polis mengesahkan bahawa pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menyiasat insiden seorang lelaki yang memandu kenderaan sehingga memasuki kawasan landasan di Stesen KTMB Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang pada 11 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey menyatakan bahawa lelaki warga tempatan berusia 60 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku pada jam 11.40 malam seperti dilapor Bernama.
Menurut beliau, lelaki tersebut memandu masuk ke laluan landasan kereta api dan bergerak sejauh 130 meter sehingga sampai ke stesen berkenaan sebelum pihak KTMB berjaya mengeluarkan kenderaan itu pada jam 1.40 pagi.
Kes tersebut kini disiasat oleh pihak KTMB di bawah Seksyen 62 Akta Kereta Api 1991.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan landasan tersebut susulan dakwaan bahawa individu terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol.



