MIRI: Seorang pelajar maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran sekolah menengah di Kilometer 55 dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Miri menuju ke Bakong.
“Kereta berkenaan dipercayai melanggar mangsa yang sedang melintas jalan sehingga mengakibatkan kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan menambah, pemandu wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizal Moktar di talian 012-818 6509 atau 085-430479.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Mohd Farhan turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain.



