ARTIKEL

Keadaan kenderaan akibat kemalangan tersebut, petang semalam.

Tiga kenderaan terlibat kemalangan di Jalan Mukah-Balingian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sebuah Toyota Hilux bertembung dengan lori tangki sebelum terbabas lalu melanggar sebuah Perodua Alza dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 21, Jalan Mukah-Balingian berhampiran Kampung Penipah, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika Toyota Hilux berkenaan dalam perjalanan dari arah Balingian menuju ke Mukah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux cuba memotong Perodua Alza yang berada di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan.

“Ketika Toyota Hilux sedang memotong, sebuah lori tangki jenis Hino yang datang dari arah bertentangan berada terlalu dekat sehingga pemandu Toyota Hilux tidak sempat kembali ke laluan asal,” katanya.

“Toyota Hilux kemudian bertembung dengan bahagian hadapan lori tangki sebelum terbabas lalu melanggar Perodua Alza,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua pemandu Toyota Hilux dan lori tangki dilaporkan tidak mengalami kecederaan, manakala ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan.

Jelas Rizal, setakat ini hanya pemandu lori tangki, 36, yang tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, polis sedang mengesan dua lagi pemandu kenderaan yang terlibat dan meminta mereka tampil di balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan.

Tambahnya, saksi yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan juga diminta menghubungi pegawai penyiasat kes atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU