Pelajar luar bandar mahu bas percuma

BETONG: Rakyat di negeri ini bukan sahaja tinggal di bandar, malah luar bandar turut menyambut baik rancangan Kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan bas sekolah secara percuma kepada pelajar di beberapa bandar besar.

Mereka mengharapkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membantu masyarakat luar bandar dalam perkara sama terutama dengan matlamat mengurangkan kos sara hidup masyarakat tanpa mengira di mana mereka tinggal.

Dr. Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, perkhidmatan bas sekolah secara percuma adalah cadangan yang bagus bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh golongan pertengahan yang tinggal di bandar.

“Saya menyokong rancangan tersebut memandangkan kos menghantar anak ke sekolah di bandar besar agak membebankan.

“Selain itu sebagai khidmat sosial Yayasan Sarawak untuk membantu anak-anak Sarawak di bandar,” katanya kepada Suara Sarawak di sini.

Abang Ismail berharap kajian dilakukan tentang keperluan sama di luar bandar.

Katanya, ia ekoran trend penggunaan pengangkutan awam di luar bandar kini semakin bekurangan.

Sementara itu, Florence Anding turut berpandangan serupa dengan Abang Ismail.

“Kalau dapat dilaksanakan di bandar ia sudah cukup bagus. Saya yakin rakyat di negeri ini akan menyambut langkah tersebut secara positif.

“Ia sepatutnya diperluaskan di kawasan luar bandar,” ujarnya. Namun jelas Florence, kerajaan perlu melihat juga permintaan terhadap perkhidmatan tersebut kerana pelajar luar bandar ramai tinggal di asrama.

“Rata-rata dalam kalangan mereka cuma mengharapkan pengangkutan pergi dan balik dari asrama pada setiap Jumaat dan Ahad yang dilihat sebagai kritikal.

“Misalnya di Betong, pelajar luar Betong yang bersekolah di MRSM, Kolej Vokasional dan se bagainya andai tiada pengangkutan, situasi amat menyukarkan.

“Kalau dahulu ada bas namun terpaksa berebut-rebut,” tambahnya.

Kaunselor Suib Paiee pula menyifatkan rancangan Kerajaan Sarawak itu sebagai langkah bijak melihat kebajikan mereka yang terbeban akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Mungkin dilihat sebagai perkara biasa, tetapi saya yakin Abang Johari mendengar keluh resah masyarakat bandar.

“Jadi, Yayasan Sarawak sebagai pelaksana kelak diharap dapat mengimplimentasikan rancangan tersebut dengan sebaik-baiknya agar perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya. Suib juga mengharapkan beberapa pekan kecil di luar bandar dapat dirancang dengan perkhidmatan yang serupa.

Manakala bagi Hajijah Lueng, beliau memuji rancangan Kerajaan Sarawak itu.

“Walaupun belum jelas bandar mana yang terlibat dan bagaimana pelaksanaannya, tetapi ia khabar gembira buat masyarakat bandar.

“Kita harus menerimanya dengan rasa syukur sekurang-kurangnya ia akan memudahkan urusan pergi dan balik sekolah anak-anak… tanggungan ibu bapa juga semakin berkurang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan jangan dibeza-bezakan keperluan masyarakat bandar dan luar bandar.

“Secara peribadi, kepentingan pelajar walau di mana jua berada harus sama dijaga,” tambahnya.

Memetik Suara Sarawak keluaran 7 Julai, Abang Johari menegaskan rancangan berkenaan bagaimanapun masih di peringkat cadangan pihak Yayasan Sarawak berikutan masalah teknikal yang memerlukan perbincangan lanjut bersama Jabatan Pengangkutan Jalan.

Suara Sarawak