SARATOK: Pelajar luar bandar perlu lebih proaktif menambah pengetahuan, menguasai kemahiran baharu serta berani menyesuaikan diri dengan tuntutan industri masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata perubahan pesat landskap pekerjaan menuntut generasi muda supaya tidak hanya bergantung kepada pengetahuan akademik, sebaliknya turut melengkapkan diri dengan kemahiran yang relevan.

Menurutnya, perkembangan ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi membuka ruang baharu dalam dunia pekerjaan, namun pada masa sama menuntut tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri.
“Justeru, pelajar perlu sentiasa menambah pengetahuan, menguasai kemahiran baharu dan berani meneroka bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri.

“Jangan hanya menunggu peluang datang, sebaliknya gunakan setiap platform yang ada untuk mengenal pasti bidang pengajian, kemahiran dan kerjaya yang sesuai dengan minat serta keperluan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di Kolej Tingkatan Enam Saratok, di sini, semalam.
Jelasnya yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS, program seumpama ini penting kerana menyediakan ruang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai peluang pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta prospek kerjaya.
Katanya, pendedahan awal dapat membantu pelajar membuat perancangan pendidikan dan kerjaya dengan lebih tepat, selain memahami keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Pelajar hari ini adalah tenaga kerja masa depan Sarawak.
“Oleh itu, mereka perlu bersedia dari sekarang dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang diperlukan bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan pendidik memainkan peranan dalam membimbing pelajar meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya, termasuk bidang TVET yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi negeri.
Dalam masa sama, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan komuniti perlu terus diperkukuh bagi memastikan generasi muda Sarawak mempunyai akses kepada peluang pendidikan serta latihan yang berkualiti.
“Yang penting, pelajar jangan takut mencuba dan meneroka bidang baharu.
“Dunia pekerjaan sedang berubah dan kita perlu memastikan anak-anak Sarawak bergerak seiring dengan perubahan tersebut,” tegasnya.
Jelajah PRO-DR 2026 di Saratok yang turut disokong Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menyediakan ekosistem sehenti menerusi lebih 40 reruai pameran yang membolehkan komuniti setempat mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan tinggi, TVET, peluang kemahiran, agensi kerajaan serta keperluan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok Omar Sharif Buseri serta kira-kira 500 pengunjung turut hadir.





