ARTIKEL

bernama

PELAJAR MALAYSIA DI HUNGARY RAIH TOP OF COHORT, PAMER WARISAN NEGARA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA KINABALU: Kebijaksanaan seorang pelajar Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti di Hungary  dengan nilai gred kumulatif (CGPA) 4.99 (4.99/5.00) sehingga melayakannya menerima anugerah ‘top of cohort’, bukan sahaja tular kerana kejayaan akademiknya.
Istimewanya juga, anak gadis kelahiran Sabah ini, Afiqah Izzati Sundusin, 24, turut mencuri perhatian dunia apabila diiktiraf menjadi pelajar Malaysia pertama menjadi wakil graduan berucap dalam acara penuh bermakna itu di depan ribuan graduan dan keluarga mereka di University of Szeged.
Tampil bergaya dan bangga dengan busana warisan suku Bugis iaitu baju Bodo atau turut dikenali baju Tokko, graduan kejuruteraan pertanian ini tidak sekadar berjaya memukau kekaguman ramai dengan pencapaian cemerlangnya itu akan tetapi juga apabila memilih memulakan ucapan dalam bahasa Melayu.  
Ditemani ahli keluaganya pada hari penuh istimewa itu, anak sulung daripada enam beradik ini percaya budaya dan identiti sebagai gadis Bugis serta rakyat Malaysia tidak akan pudar biarpun menetap lama di negara luar dan kerana itu, Afiqah Izzati nekad memilih busana tradisi pada hari bahagianya itu. 
Tidak sama sekali menyangka keputusannya bersama keluarga untuk menggayakan busana Bugis itu akhirnya berjaya mencetuskan minat ramai, tidak hanya dalam kalangan rakan-rakannya akan tetapi juga, keunikan penampilannya itu turut mendapat perhatian dan liputan meluas media di Hungary. 
“Saya bangga menjadi anak Malaysia (yang terkenal dengan) masyarakat majmuk selain turut sama bangga dengan warisan dimiliki. Saya memilih memakai baju tradisional  ini bukanlah sekadar fesyen semata-mata tetapi ini adalah cara saya memperkenalkan keunikan kepelbagaian etnik di Malaysia kepada dunia. 
“Baju berona hijau ini dengan kain, songkok recca, tali pinggang (pa’bekkeng) ditempah dari Indonesia dan penghantaran ke Sabah dalam masa dua minggu. Ia dijahit oleh penjahit tempatan di Sandakan, boleh kata proses keseluruhan membuat baju Bodo ini lebih kurang tiga bulan,” katanya.
Ketika ditanya perancangannya selepas ini, gadis kelahiran Tawau dan membesar di Sandakan ini berkata akan ke Switzerland bagi menjalani sesi ‘research intern’ di pusat penyelidikan di negara itu selama empat bulan bermula April hingga Julai.
“Saya diberikan peluang untuk menimba pengalaman di Switzerland dan pastinya, peluang ini tidak akan disia-siakan untuk melakukan yang terbaik. Penyelidikan yang akan dilakukan adalah berkaitan dengan penyelidikan yang saya buat semasa di Hungary iaitu  ‘biological control of weeds’,” katanya.
Menyimpan impian bergelar saintis penyelidikan dan pembangunan pertanian,  Afiqah Izzati berkata kejayaannya ini bukanlah untuk mendabik dada namun, diharapkan dapat memberi inspirasi dan contoh terbaik kepada adik-beradiknya serta yakin mereka juga akan lebih berjaya pada masa depan. 
Begitu menghargai pengorbanan ibu bapanya yang telah bekerja keras, tenaga serta doa yang tidak pernah henti, menjadi pegangan buatnya untuk terus kekal berjuang menggapai impian biarpun tidak dinafikan, ada ketikanya gadis ini juga tidak terkecuali berdepan dengan semangat hampir putus.
“Setiap orang akan melalui liku-liku kehidupan, sebab itu kena ada tujuan yang jelas dan selalu cuba mengingati pegangan agama. Bagi saya, tujuannya adalah untuk menimba dan mengamalkan ilmu bermanfaat dan sentiasa mengingati keluarga.
“Jasa umi dan ayah cukup besar, mereka banyak berkorban dan jika saya berasa ‘down’, saya akan kenang penat lelah mereka,” katanya sambil menambah bapanya merupakan pegawai kesihatan persekitaran di Sandakan manakala ibunya adalah pengurus di syarikat berkaitan kerajaan.
Afiqah Izzati sebelum ini mendapat pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Gin dan kemudiannya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan selepas itu melanjutkan pelajaran dalam Asasi Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan