ARTIKEL

Universiti Alexandria, Mesir.

Pelajar PharmD lega isu pengiktirafan diberi perhatian segera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelajar Malaysia yang mengikuti program pengajian Doktor Farmasi (PharmD) di Universiti Alexandria, Mesir, menarik nafas lega selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memuktamadkan penyelesaian isu pengiktirafan program berkenaan dengan kadar segera.

Salah seorang pelajar yang terjejas, Mariatul Karimah Ishak, 23, berkata pengiktirafan program berkenaan amat penting kerana ia berkait rapat dengan peluang graduan untuk berkhidmat sebagai ahli farmasi di Malaysia.

Menurut pelajar dari Sarawak itu, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di universiti berkenaan kerana institusi tersebut tersenarai dalam pilihan yang ditawarkan menerusi laman rasmi KPT.

“Situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan dan menjadi cabaran kepada kami. Jika program PharmD tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia, kami mungkin tidak dapat bekerja di negara ini selepas tamat pengajian.

“Kami melanjutkan pengajian berdasarkan tawaran yang disalurkan melalui KPT, jadi kami berharap ada penyelesaian yang membuka jalan supaya kami dapat berkhidmat di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Baru-baru ini, tular laporan media mengenai empat penuntut program PharmD di Universiti Alexandria, Mesir, yang merayu Perdana Menteri untuk campur tangan membantu menyelesaikan isu pengiktirafan kelayakan yang menjejaskan masa hadapan akademik dan kerjaya mereka.

Mereka berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian segera supaya dibenarkan menduduki peperiksaan kelayakan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus melengkapkan pengajian dan menjalani latihan profesional di negara ini.

Susulan itu, Anwar menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat.
Ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan. Bagaimanapun, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia.

Sehubungan itu, Mariatul berkata respons yang diberikan Perdana Menteri memberi kelegaan kepada mereka kerana isu yang dihadapi akhirnya mendapat perhatian.

“Apabila melihat respons daripada Perdana Menteri, kami berasa lega dan melihat ada sinar harapan untuk masa depan kami. Insya-Allah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mariatul memaklumkan bahawa dia mula menyedari isu pengiktirafan program berkenaan ketika berada di tahun kedua pengajian.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak terlalu bimbang pada ketika itu kerana mengikuti program tersebut menerusi tawaran di bawah KPT.

“Waktu itu juga, ada senior yang baru menyedari isu tersebut dan pernah meminta bantuan kedutaan untuk mengemukakan surat, namun kami tidak pasti perkembangan seterusnya.

“Kini saya sudah berada di tahun keempat pengajian dan dijadual menjalani latihan praktikal pada 2028. Sudah pasti saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, sebelum ini memaklumkan bahawa semakan yang dijalankan oleh MQA mendapati program PharmD yang ditawarkan Universiti Alexandria, Mesir, mempunyai kandungan akademik yang setara dengan program terdahulu iaitu Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Farmasi Klinikal) yang pernah mendapat pengiktirafan Malaysia.

Tegas beliau, pihaknya mendapati silibus, kandungan pengajian serta “body of knowledge” program PharmD juga tidak berubah berbanding program farmasi klinikal terdahulu, sebaliknya hanya melalui proses penjenamaan semula kepada PharmD pada 2019.

Jadi, tegasnya, berdasarkan penemuan itu, MQA bercadang mengadakan perbincangan dengan KKM bagi membolehkan pengecualian khas diberikan kepada empat graduan terbabit supaya mereka dapat berdaftar dengan badan farmasi Malaysia dan seterusnya menjalankan amalan profesion itu di negara ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU