Pelajar Sabah, Sarawak balik kampung mulai Jumaat ini

KUCHING: Penghantaran pulang pelajar ke  Sabah dan Sarawak dari Semenanjung Malaysia akan bermula 1 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan)  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  pada sidang media  yang turut disiarkan melalui televisyen hari ini berkata, mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang terdekat dengan kampung halaman pelajar.

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang berada di Terengganu dan Kelantan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Mereka sekitar  zon tengah termasuk Pahang akan diterbangkan dari KLIA di Sepang, manakala di zon utara diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Katanya, bagi  pelajar di zon selatan pula akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru.

Sesampai di Sarawak mereka akan dikuarantin di pusat kuarantin di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu selama dua minggu.

Langkah ini diambil bagi mengekang penularan Covid-19 dan memastikan mereka negatif Covid-19 sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, seramai sekitar 7,000 anak Sarawak yang belajar di Semenanjung dan terkandas di sana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya,  buat masa ini kerajaan sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru dan Kolej MARA.

Suara Sarawak