Pelajar suka ponteng sekolah

DEBAK: Kehadiran pelajar ke sekolah dikatakan menunjukkan trend semakin meruncing menjelang akhir tahun apabila berlaku saban tahun perlu dilihat secara menyeluruh terutama faktor rumah.

Walaupun demikian, tidak dinafikan juga ada sesetengah pihak mengaitkannya dengan faktor penganjuran terlalu banyak pesta di kawasan.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam bagaimanapun beranggapan isu ponteng sekolah bukan hanya berlaku pada beberapa tahun kebelakangan tetapi trend tersebut sama sejak dulu.

“Saya faham di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), aspek kehadiran akan dinilai.

“Lazimnya pada awal-awal tahun kehadiran biasanya penuh, namun semakin ke penghujung tahun berlaku kemelesetan,” katanya.

Jelasnya, ada cakap-cakap mengatakan ia disumbangkan oleh faktor penganjuran pesta yang terlalu banyak sehingga melalaikan dan ini menimbulkan persoalan, sejauh manakah kebenarannya?

“Andai benar ia menjadi salah satu penyumbang, Insya-Allah kita akan meneliti semula.

“Dalam isu ini tidak wajar kita melihat kepada satu punca sahaja kerana ketika tiada penganjuran pesta sekalipun, kemelesetan kehadiran pelajar difahamkan tetap berlaku umpama hari ini,” katanya.

Razi menjelaskan, sebab itu, saya berani menegaskan faktor dari rumah perlu diteliti sedalam- dalamnya.

“Anak-anak merayau, anak-anak keluar malam, anak sering memberi alasan untuk tidak ke sekolah… pokok pangkalnya bermula dari mana?

“Bagaimanapun, saya memandang serius perkara ini dan merasakan semua pihak harus memainkan peranan termasuk pelajar itu sendiri,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Program Informasi Kerjaya dan Permuafakatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas 2019 di Dewan Sri Rimbas, semalam.

Menjelaskan lanjut tentang perkara tersebut, Razi tidak menolak wujudnya faktor malas dalam kalangan diri anak-anak sendiri.

“Andai ada didikan yang bagus dari rumah, mereka akan takut untuk meninggalkan sekolah.

“Selain itu ada juga faktor lain iaitu malas kalau dibiarkan akan menjadi barah yang merosakkan masa depan,” ujarnya.

Justeru, kata Razi juga bekas guru amat memahami situasi yang dialami oleh pengurusan sekolah, bukan senang ketika terpaksa mendengar leteran daripada pihak PPD.

“Malah lebih penting untuk diambil kira ialah ibu bapa sebagai pemegang taruh di sekolah mengharapkan anak mereka berjaya,” katanya.

Jelasnya, andainya pihak sekolah gagal, maka mereka akan dipersalahkan.

“Jadi, kita tidak mahu perkara ini berlaku. Sebab itu kita meminta setiap ibu bapa walau apa cara sekalipun, harus memastikan anak-anak tidak ponteng sekolah sekaligus menumpukan sepenuh perhatian terhadap persekolahan.

“Pihak sekolah juga diharap lebih tegas,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menasihati anak-anak muda agar menjauhi dadah.

“Hari ini pengaruh semakin banyak. Sebab itu, kita perlu menjaga benteng sendiri.

“Ibu bapa juga disaran tidak melindungi anak-anak sekiranya mendapati mereka terlibat dengan sesuatu yang salah,” jelasnya.

Razi menyatakan sokongannya dalam apa jua perkara melibatkan pembangunan pendidikan anak-anak. Program informasi kerjaya kali ini disertai oleh sembilan agensi antaranya Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Yahos Sdn. Bhd., Kolej SEGi Sarawak, Kolej ITA, Institusi Teknologi Maklumat Nusantara, Technology College Sarawak (TCS), Institusi Latihan Perindustrian Kota Samarahan, Kolej Komuniti Betong dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengetahui syarat kemasukan bagi setiap bidang kursus yang ditawarkan sekali gus menjalin silaturahim dengan agensi luar dan komuniti sekitar.

Suara Sarawak