Pelajar terkandas di kampus mula pulang esok

KUCHING: Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang terkandas di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 akan dihantar pulang esok dan lusa (29 dan 30 April).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia membabitkan pelajar daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Unitersiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak termasuk IPT awam dan swasta.

“Di Semenanjung, perjalanan bas adalah pada malam tetapi di Sarawak, disebabkan keadaan jalan maka perjalanan adalah pada siang hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong.

Uggah yang juga pengerusi JPBN Sarawak berkata pelajar-pelajar terbabit akan dibawa ke daerah masing-masing dan dari sana, mereka perlu balik sendiri ke rumah.