Pelajar terkandas terima bantuan

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan aktiviti pemasaran melibatkan hasil pertanian para petani di negara ini melaksanakan Program Tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Program CSR itu dengan kerjasama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Manred) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Samarahan tampil menyumbangkan keperluan makanan di beberapa insititusi pengajian tinggi (IPT) semalam.

Antara insititusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Politeknik Kuching, Universiti Malaysia Sarawak (Kolej Dahlia) dan Kolej Asia Metropolitan Kuching.

Majlis penyerahan sumbangan keperluan barangan makanan disampaikan oleh Timbalan Pengarah Fama Sarawak Abdul Jaafar Lian kepada setiap wakil IPT yang terlibat.

Menurut Abdul Jaafar, tujuan utama program tersebut untuk membantu rmeringankan beban pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini ialah salah satu bantuan kerajaan kepada pelajar yang terkandas di kolej kediaman kerana tidak sempat pulang ke rumah.

Kita tidak mahu melihat mereka terabai sepanjang PKP ini.

“Barangan yang disampaikan merupakan makanan kering, buah-buahan tempatan dan produk Agromas di bawah kendalian pihak Fama sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau juga menggesa semua pihak mengutamakan amalan memakan buah-buahan dan sayur tempatan bagi meningkatkan sistem imunisasi badan.

“Menerusi bantuan buah-buahan ini, kita harap para pelajar mengutamakan amalan memakan buah-buahan bagi meningkatkan sistem imuniasis badan mereka,” tegasnya.