LUNDU: Seorang pelajar lelaki tingkatan satu meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pikap di kawasan pusingan-P Kampung Temaga Melayu, Jalan Lundu-Sematan.
Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6 petang semalam.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Sematan menuju ke Lundu dipercayai telah keluar dari pusingan-P Kampung Temaga Melayu tanpa berhenti di simpang terlebih dahulu.
“Pada masa sama, sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 52 tahun dari arah Lundu ke Sematan dan di jalan lurus telah melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lundu menggunakan ambulans.
Manakala, katanya pemandu pikap terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Damataries berkata semasa kejadian, keadaan jalan raya adalah basah dan cuaca hujan.
Katanya kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sekyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

