ARTIKEL

Anyi Jana | Foto: UKAS

Pelaksanaan cuti gantian di Sarawak perlu jelas, teratur – Anyi Jana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan menyusun semula peruntukan berkaitan jadual cuti umum di Sarawak perlu dilaksanakan dengan jelas, teratur dan mudah dirujuk bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan majikan dan pekerja.

ADUN Ngemah, Anyi Jana berkata, undang-undang bukan sekadar dokumen yang disimpan di pejabat kerajaan, sebaliknya perlu mempunyai peruntukan yang jelas, mudah difahami dan berkesan untuk dilaksanakan.

“Saya menyokong usaha untuk menyusun semula peruntukan berkaitan jadual cuti umum supaya lebih kemas dan mudah dirujuk,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Menurutnya, cadangan menyatukan jadual serta memperkemas mekanisme pindaan jadual melalui pemberitahuan dalam warta kerajaan berpotensi memudahkan pengurusan cuti umum, khususnya apabila penyesuaian perlu dibuat dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan pindaan itu perlu disertai penyampaian maklumat yang telus dan menyeluruh kepada rakyat serta semua pihak berkepentingan.

Katanya lagi, kejelasan peruntukan amat penting, terutama apabila cuti umum jatuh pada hari rehat atau bertindih dengan cuti umum lain, bagi mengelakkan kekeliruan berhubung kelayakan dan pelaksanaan cuti gantian.

“Bagi pekerja yang menerima gaji harian, pekerja kilang, pekerja ladang serta mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman, kepastian mengenai cuti amat bermakna.

“Mereka perlu merancang jadual kerja, perjalanan pulang ke kampung halaman dan masa untuk bersama keluarga.

Oleh itu, peruntukan berkaitan cuti gantian perlu diperjelas supaya dapat difahami dan dilaksanakan dengan baik oleh majikan serta pekerja,” ujarnya.

Anyi menambah, pindaan berkenaan juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kerangka perundangan negeri kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memperluas hebahan pindaan tersebut bagi memastikan rakyat memahami hak serta kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU