LUNDU: Usaha mengehadkan akses media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun dilihat sebagai pendekatan strategik bagi melindungi kesejahteraan golongan muda di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun pelaksanaan dasar berkenaan memerlukan penglibatan aktif daripada semua pihak berkepentingan.
“Ia bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya telah melalui proses perbincangan terperinci di peringkat Kabinet sebelum dimuktamadkan sebagai satu dasar nasional,” katanya.
Nancy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan sesi penyerahan sumbangan peralatan bagi Program Rangkaian Kasih di sini, hari ini.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memperkukuh perlindungan keselamatan dalam talian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta remaja yang semakin terdedah kepada ancaman dunia digital.
Mengulas lanjut, Nancy menegaskan bahawa meskipun kawalan umur diperkenalkan, ibu bapa tetap memainkan peranan paling utama dalam membentuk corak interaksi anak-anak dengan media sosial.
“Pengawasan dan bimbingan daripada ibu bapa amat penting. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dasar semata-mata kerana didikan di rumah menjadi asas utama bagi memastikan penggunaan yang sihat serta selamat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penyedia platform digital agar lebih bertanggungjawab dengan memperketat mekanisme kawalan umur selain menambah baik ciri keselamatan bagi melindungi pengguna muda daripada kandungan tidak bersesuaian.
Jelasnya, keberkesanan dasar tersebut bergantung kepada pendekatan kolaboratif yang melibatkan kerajaan, institusi keluarga serta pihak industri teknologi.
“Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif, selain diberi peluang untuk meneroka dunia tanpa dibebani risiko berlebihan.
“Langkah ini dijangka memberi impak terhadap cara generasi muda berinteraksi di alam maya, namun ia merupakan tindakan awal yang penting bagi menangani isu keselamatan siber dan kesihatan mental dalam landskap digital masa kini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa keperluan had umur itu bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan dalam memastikan generasi muda membesar dalam persekitaran digital yang lebih selamat serta terkawal.

