ARTIKEL

Dennis bersama-sama dengan beberapa pegawai agensi kerajaan sempena lawatan ke tapak rasmi Stesen Hibrid Long Bedian

Pelaksanaan projek Sistem Solar+Hidrogen pertama di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Pelaksanaan Projek Sistem Solar+Hidrogen bagi membekalkan sumber tenaga kepada masyarakat di Long Bedian bakal menjadi yang pertama bagi projek sedemikian di Sarawak, dan sekali gus di Malaysia.

ADUN Telang Usan Datuk Dennis Ngau berkata, cadangan pelaksanaan tersebut telah dibincangkan bersama-sama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan (KKDW), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Sarawak Energy Berhad (SEB), SEDC Energy Sdn Bhd, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan H2 Energy sempena lawatan ke tapak rasmi Stesen Hibrid Long Bedian baru-baru ini.

“Projek yang dicadangkan itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan ia disambut baik serta selaras dengan hasrat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha mempromosikan hidrogen hijau.

“Ia juga menggariskan fokus kerajaan bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar seperti di kampung, klinik kesihatan, sekolah dan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa projek tersebut dicadangkan berikutan kejayaan projek perintis solar+hidrogen di Klinik Long Loyang di Ulu Tinjar yang dilaksanakan oleh H2 Energy berdasarkan data yang disahkan daripada sistem H2E (H2E1) di Klinik Long Loyang.

“H2E1 yang telah beroperasi 24 jam tanpa gangguan sejak diperkenalkan pada Disember 2021 itu telah membuktikan bahawa keperluan tenaga kritikal klinik desa luar grid itu dapat dipenuhi dengan berkesan.

“Dengan ini, saya percaya bahawa cadangan projek sistem hidrogen hijau berskala besar di Long Bedian akan membolehkan semua kemudahan luar grid termasuk di kampung, kem balak dan ladang kelapa sawit dapat dikuasakan 24 jam dengan solar+hidrogen.

“Sistem ini juga sekali gus akan membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan seluruh masyarakat luar bandar,” ujarnya.

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)