KUCHING: Pelan Hala Tuju Ekonomi Bio dan Bioteknologi Sarawak 2026–2035 mula diterjemahkan kepada tindakan menerusi sesi meja bulat yang melibatkan 50 pemegang taruh.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, sesi berkenaan menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan kerajaan.
“Meja bulat hari ini menghimpunkan pemegang taruh utama bagi memperkukuh hubungan antara industri dan penyelidikan serta menyelaraskan penyelidikan dengan keperluan pasaran.
“Ia juga bertujuan mewujudkan laluan yang jelas daripada makmal kepada pengkomersialan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Penutupan Sarawak Science, Health, Innovation and Engineering (SHInE) International Conference 2026 di Grand Ballroom, Hotel Imperial di sini, hari ini.
Pelan berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama antara Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd.
Menurut Roland, pelan itu perlu bersifat boleh laksana bagi melengkapi, bukannya bertindih dengan inisiatif sedia ada.
“Pelan ini perlu boleh dilaksanakan bagi memastikan pembangunan ekonomi bio Sarawak benar-benar bertindak balas terhadap keutamaan industri.
“Kerjasama antara penyelidikan dan industri penting supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian serta nilai ekonomi,” katanya.
Katanya, Sarawak mempunyai kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi dan kumpulan bakat yang kian berkembang.
Beliau menjelaskan bahawa cabaran utama adalah untuk menukar aset berkenaan kepada pengetahuan, inovasi, industri baharu dan peluang kepada rakyat.
Roland berkata, pembangunan ekonomi bio juga memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh antara penyelidik, industri, kerajaan dan rakan antarabangsa.
Beliau menambah, pendekatan itu selari dengan usaha menjadikan Sarawak lebih berhubung, berpandangan ke luar dan memberi tumpuan kepada impak penyelidikan.
“Pada akhirnya, masa depan Sarawak bukan hanya ditentukan oleh sumber yang kita miliki, tetapi apa yang mampu kita temui, cipta dan inovasikan daripada sumber tersebut,” katanya.

