ARTIKEL

RUNDI serta tetamu bergambar kenangan bersama-sama peserta Program SMART SBB pada Hari Ladang IADA Batang Lupar 2025 di Petak Sawah Blok C di Tanjung Bijat hari ini. Foto OSMAN RAZALI

Pelan Kuasai 60% Beras Negara Menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak bagi memperkasakan industri padi dan beras serta memastikan keterjaminan makanan negara.

JELAPANG Padi Batang Lupar di Tanjung Bijat, Sri Aman. Foto OSMAN RAZALI

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak menjelang 2030 disasar mampu mengeluarkan 60 peratus beras negara.

“Usaha kerajaan untuk memastikan kita dapat mengeluarkan 450,000 tan metrik setahun memadai untuk kegunaan Sarawak.

“Namun, menjelang 2030, kita disasar boleh mencapai 60 peratus pengeluaran beras negara. Justeru, bagi mencapai hasrat tersebut semalam (Selasa) semasa Mesyuarat Kabinet Negeri telah bersetuju menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media seusai merasmikan Hari Ladang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar 2025 di Petak Sawah Blok C di Tanjung Bijat hari ini.

Jelasnya, usaha Kerajaan Sarawak penting kerana ini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberikan Kerajaan Malaysia untuk menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi serta memastikan keterjaminan makanan.

“Kita ingin melihat industri padi dan beras terus berkembang dan mampan.

“Sehubungan itu, menerusi lembaga tersebut, peranan utamanya adalah sebagai fungsi pengawalseliaan, koordinasi dan memastikan industri ini kekal seterusnya membolehkan Sarawak terlibat dalam eksport dan import.

“Kini Sarawak sedang beralih kepada penggunaan teknologi moden dalam penanaman padi iaitu penggunaan mesin sepenuhnya,” ujarnya.

Rundi berharap Sarawak boleh meniru cara kerja negara yang sektor pertaniannya hidup.

“Industri kelapa sawit maju kerana rantaian bekalannya sudah lengkap.

“Namun, kebanyakan sektor pertanian kita yang lain berhadapan cabaran di tengah jalan.

“Oleh demikian, kita boleh mengambil contoh seperti Jepun dan New Zealand yang melakukan perubahan setiap tahun.

“Orang Vietnam bekerja antara hidup mati seolah-olah tiada esok. Di Thailand, mereka mempunyai koperasi yang kuat dan ada kluster tertentu yang membangunkan industri kelapa pandan dan sebagainya,” tambahnya.

Menyentuh Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), beliau menyatakan di Sarawak ia telah dilaksanakan oleh IADA Batang Lupar.

“Dengan usahasama strategik Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Syarikat Advansia (Sarawak) Sdn Bhd membabitkan tanaman padi seluas 83 hektar di Blok C Tanjung Bijat dengan penglibatan 202 pesawah.

“Hasil usaha bersepadu pelbagai pihak, program berkenaan pada musim kedua 2023 berjaya mencatat tuaian sekitar 5.5 tan metrik berbanding 2.8 tan metrik sebelumnya.

“Justeru, marilah terus bersama-sama menjayakan transformasi industri padi dan beras ke aras lestari, moden dan berdaya maju melalui penglibatan aktif, inovasi dan kerjasama padu semua pihak.

“Saya yakin Jelapang Padi Batang Lupar akan terus kekal sebagai jelapang padi di Sarawak yang berupaya memastikan keterjaminan makanan untuk rakyatnya,” tegasnya.

Sarawak katanya lagi, mempunyai lebih 16,000 hektar kawasan berpotensi untuk tanaman tersebut.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU