ARTIKEL

BERCAKAP… Hilmy menjawab soalan pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke lokasi sistem saliran utama di Tebingan Kuching petang tadi.

Pelan Transformasi Saliran DBKU Tangani Ancaman Banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah mengemukakan cadangan untuk menaik taraf keseluruhan sistem saliran di sekitar bandar raya Kuching bagi meminimumkan risiko banjir pada masa hadapan.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, projek berkenaan dijangka dilaksanakan sekiranya peruntukan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Penambahbaikan menyeluruh sistem saliran ini akan meliputi kawasan Bandar Lama Kuching termasuk Jalan Carpenter, Tebingan Kuching dan kawasan sekitarnya dengan tujuan meningkatkan mitigasi banjir serta memastikan sistem saliran yang lebih cekap dan teratur.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang DBKU untuk menangani risiko banjir kilat terutamanya semasa musim monsun apabila taburan hujan cenderung meningkat menjelang hujung tahun,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi sistem saliran utama di Tebingan Kuching, petang tadi.

Sehubungan itu, Hilmy berharap peruntukan yang diluluskan di bawah RMK-13 akan membolehkan DBKU melaksanakan sepenuhnya projek menaik taraf sistem saliran yang dirancang di seluruh kawasan pentadbiran agensi berkenaan.

Beliau menambah bahawa DBKU turut mengambil pendekatan lebih proaktif dalam pengurusan sistem saliran dengan meningkatkan kekerapan kerja penyelenggaraan sebagai sebahagian daripada strategi mitigasi banjir.

Langkah tersebut diambil susulan jangkaan peningkatan taburan hujan lebat khususnya menjelang musim tengkujuh yang sering mencetuskan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan berisiko.

“Sebelum ini, kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan dilaksanakan secara berkala setiap tiga bulan, namun kekerapan tersebut telah ditambah bagi memastikan sistem saliran sentiasa berada pada tahap optimum.

“Hasil pemeriksaan dan lawatan tapak mendapati keadaan saluran air di kebanyakan kawasan adalah terkawal, bersih serta bebas daripada halangan seperti sampah sarap.

“Ini membuktikan usaha penyelenggaraan berterusan yang dilaksanakan sepanjang tahun memberikan kesan positif,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa DBKU tidak akan bersikap leka dan akan terus mempergiat pemantauan terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas banjir seperti Padang Merdeka dan kawasan sekitarnya.

LAWATAN… Hilmy meninjau sistem saliran di Tebingan Kuching hari ini.

Jelasnya, sekiranya berlaku limpahan air, sistem saliran yang bersih dan berfungsi dengan baik akan membolehkan air mengalir dengan lebih pantas sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata DBKU turut merancang beberapa lawatan susulan ke kawasan berisiko lain termasuk Sungai Bedaun, Sungai Batu menuju ke arah Santubong, Sungai Maong, kawasan Green Road, persekitaran hospital serta kawasan rendah yang lain.

Menurut beliau, lawatan berkenaan merupakan siri kedua dan ketiga bagi menilai tahap keberkesanan penyelenggaraan serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan lanjut di lokasi terlibat.

Sebelum ini, Hilmy mendedahkan sebanyak 22 lokasi titik panas banjir telah dikenal pasti di sekitar Kuching termasuk Kampung Pulo, Bintawak, Sourabaya Ulu, Kampung No 4, Kudei Baru, Jalan Hospital, Jalan Padang Merdeka, Kampung Gita Laut, Kampung Gita Tengah, Kampung Pinang Jawa dan Taman Mawar.

Turut tersenarai ialah Kampung Sungai Maong, Kampung Sungai Lumut, Kampung Buntal, Kampung Sungai Bedaun, Telaga Air, Kampung Bako, Kampung Goebilt, Kampung Semerah Padi, Kampung Semariang Aman Fasa 2 dan 3, Kampung Tupong Ulu dan Jaya, Kampung Astana Lot, Kampung Sungei Bedil, Kampung Lintang serta Kampung Tunku RPR Fasa 2.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU