ARTIKEL

Pelancong Sepanyol Teruja Belajar Buat ‘Sabun Bom’

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancong dari Sepanyol, Nerea De La Torre, 38, meluahkan rasa teruja dan gembira apabila berpeluang menyertai bengkel pembuatan ‘sabun bom’ di Rumah Melanau, Kampung Budaya Sarawak (SCV) sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025.

Ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak, Nerea yang berasal dari Kepulauan Canary berkata, dia tidak menjangka akan merasai pengalaman seindah ini.

“Saya sangat menikmati acara ini. Ia mudah untuk disertai, menyeronokkan dan saya dapat belajar banyak perkara. Guru yang mengajar saya membuat sabun sangat baik, saya sangat menghargainya,” katanya sambil tersenyum.

Untuk pengetahuan, sabun bom juga dikenali sebagai “bath bomb” ialah sejenis produk mandian berbentuk bulat atau pelbagai bentuk lain yang akan berbuih, larut dan melepaskan aroma, warna, serta bahan penjagaan kulit apabila dimasukkan ke dalam air mandi panas.

Dalam pada itu, Nerea turut memuji keramahan masyarakat tempatan dan suasana festival yang meriah.

“Saya tidak tahu pun tentang acara ini semalam. Pemandu teksi yang memberitahu saya, lalu saya terus mencari maklumat di Internet,” jelasnya.

TERUJA……Nerea teruja belajar menghasilkan sabun bom di bengkel Pembuatan Sabun Bom, SCV sempena RWMF 2025.

Ini merupakan kali pertama Nerea mengunjungi Malaysia dan lebih menarik lagi, Kuching merupakan destinasi pertamanya di negara ini. Dia akan berada di Kuching selama lima hari sebelum meneruskan perjalanan ke Lembah Potafina.

Ketika ditanya mengenai makanan tempatan, Nerea berkongsi pengalamannya mencuba pelbagai juadah meskipun dia seorang vegetarian.

“Di sini, saya berpeluang makan aiskrim durian unik dan sedap! Saya juga makan nasi dengan sayur, mi dan sejenis kuih daripada ubi kayu, seperti stik ubi kayu goreng. Semuanya sangat sedap. Bukan itu sahaja, saya juga teruja dapat menikmati hidangan linut buat kali pertama,” katanya.

Nerea yang bekerja sebagai bidan di sebuah hospital di Sepanyol mengakui akan kembali semula ke Malaysia suatu hari nanti.

“Malaysia sangat besar dan saya tidak cukup masa untuk meneroka semuanya. Tetapi saya pasti akan datang lagi,” ujarnya.

Festival muzik seumpama ini terus menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia dan pengalaman Nerea merupakan bukti bagaimana acara ini mampu menghubungkan budaya dan komuniti dengan cara yang penuh makna dan kenangan.

Tenaga pengajar, Cikgu Maisarah Wan Aswandi, 25, memberi penerangan berkaitan sabun dan membimbing para peserta bengkel.

BERITA LAIN

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang

BERITA TERBARU

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang