KUCHING: Perarakan Gawai Dayak 2025 bukan sahaja bertujuan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Dayak kepada rakyat tempatan, malah turut menjadi medium penting dalam mengangkat serta mempromosikan warisan asal-usul Dayak ke persada dunia.
Sehubungan itu, Suara Sarawak berpeluang menemu bual beberapa pelancong yang hadir bagi menyaksikan keindahan dan kemeriahan perarakan tersebut.

“Saya sentiasa teruja untuk mempelajari dan melihat keunikan budaya masyarakat di Sarawak, jadi saya ambil kesempatan ini untuk melihat sendiri perarakan pada tahun ini memandangkan saya tidak berpeluang ikut serta melihat sambutan Hari Gawai tahun ini. Oleh itu, saya sangat teruja untuk melihat perarakan pada hari ini kerana saya dapat melihat pelbagai suku kaum Dayak berkumpul beramai-ramai memperagakan pakaian tradisional masing-masing.”

“Saya rasa bersyukur kerana berkesempatan untuk melihat perarakan pada hari ini kerana kebetulan saya berada di Kuching untuk menonton konsert Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) bersama-sama rakan-rakan. Ini merupakan kali pertama saya melihat pakaian tradisional masyarakat di Kuching dan saya juga berkesempatan untuk merakam beberapa kenangan dengan mengambil gambar bersama-sama peserta yang memakai pakaian tradisional.”

“Saya sebenarnya kebetulan sedang berada di sekitar Tebingan Sungai Kuching bersama-sama rakan kerana baharu sahaja selesai makan dan kami melihat orang ramai cantik bergaya memakai pakaian tradisional mereka. Bahkan, wanita-wanita di Sarawak ini sungguh cantik menawan, yang menunjukkan keunikan aura kecantikan orang Sarawak.”

“Kami baharu sahaja mendarat di Kuching sejam yang lalu, tetapi keramahan dan sikap budi pekerti orang Sarawak menawan hati kami. Oleh itu, kami memilih untuk melihat dahulu perarakan pada hari ini sebelum bergerak untuk menonton konsert RWMF kerana bila lagi kita ada kesempatan untuk ikut serta mendalami dan melihat budaya masyarakat di Sarawak jika bukan hari ini.”

