ARTIKEL

Abang Johari (tengah) merasmikan pembukaan Hotel Legacy Hill di Jalan Ban Hock di sini hari ini | Foto: Mohd Alif Noni

Pelancongan Sarawak Menuju RM12 Bilion, Infrastruktur Dipertingkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak hotel butik khususnya di bandar raya ini bagi menampung peningkatan ketibaan pelancong, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, seperti Hotel Legacy Hill yang diubah suai di Jalan Ban Hock di sini, pembangunan hotel butik seperti itu mampu menyokong pertumbuhan sektor pelancongan terutama bagi menampung keperluan pelancong yang menghadiri acara dan persidangan.

Menurutnya, berdasarkan angka semasa Sarawak sudah mencapai sekitar RM8 bilion dalam hasil kutipan resit pelancongan tahun ini dan menyasarkan RM12 bilion menjelang Disember ini.

“Peningkatan jumlah pelancong itu menunjukkan minat yang semakin tinggi terhadap bandar raya ini.

“Ia bukan sahaja untuk menikmati keindahan alam semula jadi Sarawak tetapi juga untuk memahami keunikan budaya negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni sebagai satu keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Hotel Legacy Hill di Jalan Ban Hock, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, pelancongan merupakan sektor penting di Sarawak yang sedang dimajukan secara progresif termasuk mempromosikan Kuching sebagai destinasi utama.

“Dengan rangkaian jalan raya seperti Lebuhraya Pan Borneo dan jalan pesisir orang ramai kini mudah mengakses kawasan luar bandar untuk merasai sendiri budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan,” katanya.

Justeru katanya, Kerajaan Sarawak akan menumpukan usaha meningkatkan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik bagi menyokong pembangunan pelancongan serta keselesaan pengunjung.

“Ramai pelancong datang ke Kuching dan kemudian memandu ke kawasan luar bandar sama seperti konsep pelancongan di New Zealand atau Australia. Cuma perbezaannya Sarawak tidak terlalu jauh dan mempunyai cuaca baik sepanjang tahun,” katanya lagi.

Hadir sama, Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU