KUCHING: Pelancongan berasaskan seni dan budaya berperanan penting dalam membentuk perpaduan dan kekuatan identiti serantau ASEAN.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kekayaan budaya yang dimiliki negara-negara ASEAN, daripada warisan seni, festival etnik, kraf tradisional hingga makanan tempatan, merupakan aset hidup yang mencerminkan sejarah dan jati diri bersama rantau ini.
“Melalui kerjasama rentas sempadan, ASEAN dapat menghasilkan pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh dan menyulam naratif budaya ke dalam strategi pelancongan.
“ASEAN mampu menawarkan pengalaman yang unik dan berakar pada nilai keaslian serta kepelbagaian,” katanya ketika berucap di Majlis Pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Ujarnya, Sarawak, sebagai tuan rumah bagi mesyuarat kali ini, turut menjadi latar simbolik kepada mesej yang diketengahkan.
“Sebagai anak jati Sarawak, negeri yang dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’, saya amat berbesar hati menerima kehadiran menteri-menteri dan delegasi dari seluruh ASEAN di bumi ini,” katanya.
King Sing turut merakamkan penghargaan kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kesudian merasmikan mesyuarat serta sokongan kerajaan negeri dalam menjayakan penganjuran acara minggu ini.

Mengulas tema Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, iaitu Inklusiviti dan Kemampanan, beliau menyatakan ia mencerminkan aspirasi untuk mencapai kemajuan yang seimbang, adil dan berpaksikan masa depan.
Mesyuarat ASCC ke-33 berlangsung sepanjang minggu ini di Kuching dan menghimpunkan Menteri-Menteri ASEAN bagi membincangkan perkembangan serta inisiatif dalam bidang sosio-budaya yang meliputi kesihatan awam, perubahan iklim, kebajikan sosial dan jurang ekonomi.

