KUCHING: Pelantikan Datuk Bandar dan pengerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak tidak berasaskan jantina, sebaliknya dibuat mengikut kelayakan, pengalaman dan keupayaan individu untuk memimpin kerajaan tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, proses pelantikan itu tertakluk kepada syarat ketat bagi memastikan hanya calon yang kompeten dapat menerajui pentadbiran PBT di seluruh negeri.
“Pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan adalah berpandukan kepada kriteria yang jelas dan penting.
“Mereka dilantik berdasarkan pengalaman dalam kerajaan tempatan, pencapaian cemerlang dalam profesion masing-masing sama ada dalam bidang profesional, perniagaan atau industri,” ujarnya
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan dalam sesi penggulungan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Dr. Sim yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memaklumkan bahawa calon yang dilantik perlu memenuhi beberapa kriteria asas termasuk menjadi warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak.
“Pelantikan juga mengambil kira kemampuan seseorang untuk mewakili kepentingan komuniti dan memahami keperluan setempat dengan berkesan,” jelasnya.
Tambahnya, kelayakan ini akan memastikan PBT dipimpin oleh individu yang berkebolehan, berpengalaman dan berorientasikan komuniti.
“Mereka yang dilantik menerajui PBT dilihat mampu memberikan sumbangan bermakna kepada tadbir urus tempatan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Pada Rabu (26 November lalu) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen dalam pernahasannya menaikkan isu keterangkuman gender dalam pelantikan kepimpinan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sarawak.
Ujarnya, kini, hanya seorang wanita yang memegang jawatan pegawai daerah di negeri ini dalam mana-mana Majlis Daerah, iaitu di Majlis Daerah Subis.
Jelas beliau, keadaan itu sangat jauh daripada sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan, sebagaimana yang sering ditegaskan di peringkat nasional dan antarabangsa.
KAPSYEN:
Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hia FOTO GHAZALI BUJANG

