KUCHING: Sarawak menegaskan bahawa tuntutannya untuk mengurus dan mengawal selia sumber asli negeri, termasuk pelantikan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal, dibuat dengan niat yang ikhlas dan bukan bertujuan merampas hak mana-mana pihak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu berasaskan hak yang sah di sisi undang-undang Negeri Sarawak serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Ini bukan soal persaingan, ini soal kerjasama dan kemajuan bersama untuk Sarawak dan Malaysia.
“Jangan salah tafsir niat kami. Kami mahu Malaysia berjaya bersama-sama dan tetap komited terhadap semangat persekutuan melalui kemakmuran bersama, tiada siapa yang tertinggal,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 di sini hari ini.
Uggah berkata, hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas adalah sah dan diperakui menerusi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan MA63 itu sendiri.
Beliau turut memuji kepimpinan PETROS yang menurutnya dianggotai oleh anak-anak Sarawak berkemampuan tinggi dan berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas.
Dalam pada itu, Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesediaan untuk berbincang secara terbuka dan konstruktif dengan Kerajaan Sarawak.
Beliau turut menyeru kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira perbezaan politik agar bersatu dan memberi sokongan penuh terhadap Premier dalam misi mempertahankan dan melindungi hak Sarawak.

