ARTIKEL

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi (tengah), tiba pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Foto: UKAS

Pelantikan PETROS sebagai agregator tunggal gas Sarawak tidak boleh dirunding

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelantikan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak tidak boleh dirunding, tegas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi.

Justeru, katanya, perbincangan antara Kerajaan Sarawak melalui PETROS dengan PETRONAS tidak melibatkan sebarang perbincangan tentang pelantikan PETROS sebagai agregator gas.

“Kerajaan Sarawak melalui PETROS masih pada peringkat perbincangan teknikal dengan PETRONAS untuk memastikan segala keperluan di bawah ordinan dipatuhi.

“Bermakna tidak ada agregator gas lain di Sarawak melainkan PETROS sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, ADUN Daro, Safiee Ahmad, ADUN Tellian, Royston Valentine, dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.

Mereka ingin tahu tentang kemajuan terkini dalam pelantikan PETROS sebagai agregator gas tunggal di Sarawak sempena Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, Julaihi berkata pelantikan PETROS sebagai agregator gas tunggal berkuat kuasa pada 1 Februari 2024, dan tiada agregator gas lain dilantik di Sarawak selain PETROS.

Menurutnya, selepas pindaan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 dilaksanakan pada 2023, PETROS telah dilantik sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.

Sejak itu, kementeriannya telah mengeluarkan lesen runcit gas kepada 13 pengeluar gas huluan dan 10 lesen kepada pemain gas hiliran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM 515,701.17 seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 7, DGO 2016.

Katanya, kegagalan mematuhi keperluan perlesenan itu adalah satu kesalahan di bawah seksyen 20 ordinan tersebut.

“Sebanyak 94 peratus daripada sumber gas asli Sarawak dieksport, berbanding untuk digunakan secara domestik.

“Pelantikan agregator gas dapat meningkatkan penggunaan gas asli dan memastikan keperluan gas asli adalah mencukupi untuk kegunaan di Sarawak,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa beberapa Perjanjian Penjualan Gas (GSA) telah ditandatangani dengan pengguna gas hiliran.

Ini termasuk Sarawak Petchem Sdn Bhd pada 22 Julai 2024, Sarawak Energy Bhd pada 22 Julai 2024, dan Shell MDS Sdn Bhd pada 18 Ogos 2024.

Dalam pada itu, Julaihi berkata manfaat pelantikan syarikat tempatan milik Sarawak sebagai agregator gas akan menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak.

Ia juga memberi keutamaan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta memperuntukkan gas asli bagi kegunaan domestik dan perkembangan industri hiliran.

“Pelantikan PETROS sebagai agregator gas akan mempercepatkan pembangunan SGR.

“Ini dijangka akan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.

“Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak lapan peratus setahun, yang merupakan elemen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU