ARTIKEL

Pelarian Rohingya sudah boleh pulang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

YANGON: Myanmar mengatur lawatan untuk duta dan Konsul Jeneral 11 negara termasuk Bangladesh, India, China dan lapan negara ASEAN ke Rakhine bagi mengesahkan bahawa keadaan keselamatan di sana kini stabil.

Pada hari pertama lawatan, kesemua duta dan Konsul Jeneral dibawa melawat ke kem penempatan Rohingya yang sudah siap dan masih dalam proses pengubahsuaian.

Kem itu didirikan sejak lima tahun lalu di perkampungan Naquiya berhampiran tebing Sungai Naf di sebarang sempadan bandar Teknaf.

Dalam lawatan itu, mereka diberitahu pelarian Rohingya yang tiba dengan bot akan ditempatkan di kem berkenaan selama beberapa hari sebelum dibawa ke Lapukha Maungdaw.

Pelarian Rohingya ini akan ditempatkan di Lapukha Maungdaw selama sebulan, sebelum dipindahkan secara kekal ke kem yang dibina berhampiran Maungdaw dan Sittwe. Pada 2017, Rakhine menjadi kucar-kacir selepas pergolakan meletus pada akhir Ogos, yang menyaksikan serangan oleh militan Rohingya mencetuskan tindakan balas keras junta tentera Myanmar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabel tindakan keras tentera Myanmar itu sebagai penghapusan etnik kerana wanita dan kanak-kanak Rohingya turut dirogol, disembelih dan dibakar hidup-hidup.

Kemelut itu mendorong hampir separuh daripada satu juta penduduk Rohingya di Rakhine melarikan diri ke daerah Cox’s Bazar di Bangladesh, sekali gus mewujudkan krisis pelarian terbesar di dunia.

Selain Bangladesh, pelarian Rohingya turut melakukan pelayaran berbahaya di laut dengan memasuki negara ketiga terutama Indonesia, namun niat sebenar mereka adalah untuk menetap secara kekal di Malaysia.

Difahamkan, lawatan khas wakil 11 negara itu ada kaitan dengan projek perintis penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Rakhine.

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Bangladesh di Cox’s Bazar, Mohammed Mizanur Rahman, berkata terdapat 1,140 etnik Rohingya yang akan dihantar pulang melalui projek perintis itu.

“Ini termasuk 711 individu yang sebelum ini mempunyai pendakwaan jenayah tetapi kes terhadap mereka digugurkan manakala baki 429 lagi dalam senarai menunggu, termasuk beberapa bayi baru lahir yang masih diproses.

“Kami bersedia untuk menghantar mereka pulang tetapi tidak tahu bila ia boleh bermula,” katanya.

Gencatan senjata yang dicapai antara pemberontak bersenjata dan tentera Myanmar sehingga penghujung tahun ini memberi petunjuk bahawa keadaan di Rakhine akan pulih.

Rakhine sebelum ini kerap menyaksikan pertempuran antara Tentera Arakan (AA) dan tentera Myanmar, namun gencatan senjata ditandatangani pada 24 November tahun lalu atas inisiatif Yohei Sasakawa dari Yayasan Nippon meredakan ketegangan di negeri itu.

Malah, ketika ini keselamatan masyarakat etnik Islam juga dikatakan lebih baik berbanding sebelumnya selain peluang pekerjaan, kesihatan dan pendidikan turut bertambah baik.

Meskipun projek perintis penghantaran pulang diumumkan, kebanyakan pelarian Rohingya masih risau dan enggan kembali ke Rakhine selagi keselamatan serta hak mereka di Myanmar terjamin.

Sebahagian pula berpendapat projek perintis itu adalah langkah kecil yang perlu diambil bagi membina semula kehidupan mereka di tempat asal sebelum berlakunya penghijrahan besar-besaran pada 2017.

Sebelum ini, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen, memaklumkan kerajaan Myanmar berusaha untuk memudahkan proses penghantaran pulang semua pelarian Rohingya.

Namun, beliau mengkritik pihak berkuasa Myanmar yang masih menuntut dokumen pengenalan diri Rohingya, walaupun mereka yang melarikan diri ke Bangladesh tiba dalam keadaan sehelai sepinggang.

Beliau berkata dua proses penghantaran pulang sebelum ini gagal kerana pelarian Rohingya tidak yakin dengan pihak berkuasa Myanmar.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa penghantaran pulang secara mengejut itu ada kaitan dengan hujah balas Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, pada 24 April ini. – Agensi

BERITA LAIN

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan