MUKAH: Hospital Mukah dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen P213 Mukah melaksanakan Program Gotong-Royong, di sini, hari ini.
Program ini adalah sebagai usaha berterusan memperkukuh budaya kerja berpasukan, memupuk semangat kesukarelawanan serta memastikan persekitaran hospital sentiasa bersih, selamat dan kondusif.
Sehubungan itu, program tersebut melibatkan penyertaan menyeluruh daripada warga kerja Hospital Mukah, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah dan Pejabat Daerah Mukah.
Selain itu, ia juga melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Bomba Mukah, Angkatan Pertahanan Awam Mukah serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Mukah.




Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut seperti mengecat kerusi pelawat di sekitar kawasan hospital, mengemas dan menceriakan taman hospital serta memindahkan kerusi dan peralatan yang rosak ke tempat yang sesuai bagi memastikan persekitaran lebih teratur dan selamat.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan tempat kerja, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan pelbagai jabatan dengan agensi yang terlibat.
Pada masa yang sama, ia menyemai rasa tanggungjawab dalam menjaga kelestarian serta imej organisasi, khususnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurut penganjur program, usaha sebegini wajar diteruskan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pesakit dan pelawat.
Sementara itu, Pusat Khidmat Parlimen P213 Mukah menzahirkan penghargaan kepada semua warga hospital, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang memberikan komitmen, masa dan tenaga dalam menjayakan program berkenaan.
Pihaknya berharap semangat kerjasama serta kesepakatan yang ditonjolkan melalui program ini terus menjadi amalan dalam setiap aspek tugas dan khidmat yang diberikan kepada masyarakat di daerah ini.

