KUCHING: Pelbagai kemudahan dibina bagi menarik pelabur ke kawasan Mukah termasuk Matadeng, sekali gus menyokong aktiviti sosioekonomi di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, kemudahan tersebut akan meningkatkan aktiviti perniagaan, pelancongan serta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Antara kemudahan yang telah dibina ialah dua loji penjana kuasa arang batu dan lapangan terbang baharu Mukah.
“Pada masa sama, usaha untuk menyediakan pekerja terlatih untuk keperluan industri melalui pembinaan pelbagai pusat Institusi Pengajian Tinggi dan institusi latihan teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan perancangan pelaburan jangka panjang di Estet Perindustrian Bersepadu Matadeng pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 bagi Penggal Pertama, di sini, hari ini.
Tambahnya, terdapat juga program atau projek lain yang dilaksanakan menerusi kementeriannya bagi membantu golongan usahawan di Kawasan Balingian termasuk anjung usahawan.
