Pelbagai projek majukan Sematan

SEMATAN: Pelbagai kemudahan awam akan dibina melalui projek transformasi luar bandar (RTP) tahun ini di kawasan Sematan. Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, antara projek dirancang dibina ialah tandas awam baharu di Kampung Telok Serabang serta naik taraf jeti di Kampung Pugu.

“Kos pembinaan tandas awam baharu Kampung Telok Serabang ialah RM100,000. Manakala naik taraf jeti Kampung Pugu pula berjumlah RM600,00 yang kini dalam proses cabutan undi. “Ini akan memudahkan pelancong yang datang mengunjungi Telok Serabang dan Pugu bila kemudahan semua disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program lawatan dan tinjauan bersama-sama Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sabastian Ting Chiew Yew di sini semalam.

Menurut Jamilah, ia selari dengan visi untuk menjadikan Lundu sebagai bandar pantai semula jadi. Lawatan bermula ke Telok Melano dan berjalan melihat persekitaran Kampung Telok Melano.

Bagaimanapun, lawatan ke Taman Negara Tanjong Datu terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat. Lawatan dan tinjauan diteruskan ke tebingan serta jeti Sematan dan seterusnya melihat jeti Kampung Pugu yang akan dinaik taraf.

Sebastian kemudiannya dijamu oleh Jamilah dengan air kelapa dan ubi kayu rebus bersama-sama sambal goreng dan ikan masin di Pantai Pugu.

Hadir sama Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, Penghulu Rabiel Bujang Ili dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Tanjong Datu KR Fatimah Abdullah.

Suara Sarawak