KUCHING: Sarawak perlu berpegang teguh kepada dasar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas meskipun Amerika Syarikat mengenakan tarif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, impak daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat adalah minimum memandangkan negara itu bukan rakan dagang utama.
Pada tahun lalu, katanya, nilai eksport Sarawak ke Amerika Syarikat hanya berjumlah RM1.2 bilion, iaitu sekitar 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negeri.
‘’Namun begitu, kita tetap terkesan dengan kesan limpahan daripada ketegangan perdagangan global. Kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat serta pengeluaran minyak yang melebihi jangkaan oleh negara-negara OPEC menyebabkan harga minyak menurun kepada sekitar USD65 (RM274.75) setong antara April dan Mei 2025.
‘’Penurunan harga ini memberi kesan langsung terhadap pendapatan Sarawak, khususnya dalam sektor minyak dan gas,’’ katanya merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Kata Abang Johari, lebih penting dan mendesak untuk Sarawak melaksanakan langkah-langkah strategik bagi mempelbagaikan ekonomi ke arah bidang ekonomi baharu.

