SERIAN: Penduduk yang bakal menikmati manfaat pembinaan Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan disaran mempelbagaikan kegiatan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembinaan jalan tersebut bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya pengusaha ladang kelapa sawit, malah membuka peluang untuk meneroka sektor pertanian dan penternakan.

Katanya, kawasan yang mempunyai tanah luas dan subur di sekitar kampung boleh dimanfaatkan untuk aktiviti penternakan seperti lembu dan biri-biri.
“Datuk Martin Ben berhasrat menternak lembu. Saya harap penduduk di sini memanfaatkan tanah yang luas dan masih subur untuk dijadikan kawasan penternakan.
“Bukan sahaja lembu, malah biri-biri juga boleh diternak. Seperti yang pernah disebut Premier sebelum ini, Serian berpotensi menjadi ‘New Zealand Sarawak’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, di sini, hari ini.
Sagah yang juga Pengerusi GKCDA berkata, beliau yakin Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah mampu menjalankan kajian berkaitan tanaman, penternakan dan sektor pertanian lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran di Serian sehingga berkembang sebagai industri berskala besar.
“Ini kerana kita menyasarkan Sarawak menjadi hab Asia Tenggara bagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, makanan dan juga teknologi digital,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan jalan penghubung berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan jaringan jalan raya yang saling berhubung, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat.
Katanya, apabila siap kelak, penduduk akan menikmati perjalanan yang lebih mudah dari kawasan tersebut ke Tebedu sebelum meneruskan perjalanan ke Tarat, Padawan, Samarahan, Mambong dan Bau dalam tempoh yang lebih singkat.
“Memang itulah yang kita mahukan, iaitu semua kawasan dihubungkan mengikut perancangan supaya rakyat dapat bergerak dengan lebih mudah dan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
Pada majlis itu, Sagah turut menyaksikan penyerahan rasmi surat penganugerahan projek daripada Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, Chiresly Francis Kureng kepada kontraktor, Lesmore DC Sdn. Bhd.
Projek pembinaan jalan baharu sepanjang 8.716 kilometer itu menelan kos RM32.8 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula Mei 2026 dan dijangka siap pada Mei 2028.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben; ADUN Bukit Semuja, John Ilus; ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada; Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik; dan Residen Bahagian Serian, Machos Sibong.






