BINTULU: Kementerian Pengangkutan Sarawak memperkenalkan satu inisiatif baharu dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini menerusi pelancaran pelekat keselamatan khas untuk pengguna jalan raya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin, berkata pelekat ini direka bentuk untuk diletakkan di dalam kenderaan seperti kereta dan motosikal, sebagai peringatan harian kepada pemandu serta penumpang.

“Ini adalah kali pertama kita menggunakan pelekat keselamatan dalam kempen kesedaran jalan raya sempena Gawai.
Ia mudah dilihat setiap kali berada dalam kenderaan, dan secara tidak langsung menyemai budaya pemanduan selamat dalam kalangan rakyat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Gawai Dayak 2025 Peringkat Bahagian Bintulu di hadapan Stesen Petronas, Jalan Sibiyu, di sini, pada Khamis.
Pendekatan menggunakan pelekat ini dilihat lebih berkesan kerana mesej keselamatan sentiasa berada dalam ruang pandangan pengguna jalan raya berbanding risalah atau hebahan biasa yang sering diabaikan.
“Kempen ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif kementerian semasa Tahun Baru Cina yang lalu, mengedarkan sampul angpau hijau bertemakan keselamatan jalan raya kepada masyarakat Cina sebagai simbolik usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan ketika musim perayaan.
Beliau menyeru agar pengguna jalan raya menyokong usaha ini dengan memanfaatkan pelekat keselamatan yang diberikan dan menjadikannya satu simbol komitmen terhadap keselamatan diri, penumpang, dan pengguna jalan raya lain.



