SRI AMAN: Penghasilan dan penjualan buku-buku Bahasa Iban adalah satu kaedah berkesan dalam memelihara bahasa tersebut bagi menghadapi cabaran kemerosotan kefasihan dalam kalangan generasi muda.
Peguam Gerald Empaling Donald berkata, buku Bahasa Iban memainkan peranan penting kerana ia menyediakan rekod bertulis yang boleh diturunkan kepada generasi akan datang.
“Seperti kebanyakan bahasa peribumi di seluruh dunia, Bahasa Iban juga menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kemerosotan kefasihan dalam kalangan generasi muda.
“Mendokumentasikan tatabahasa, kosa kata, peribahasa, cerita rakyat, dan pengetahuan tradisional dalam bentuk buku amat penting pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.
Empaling merupakan penyambung deligasi atau generasi penerus kepada Bekas Ahli Parlimen Sri Aman mendiang Jimmy Donald dengan mencetak baharu buku-buku Bahasa Iban karya bapanya.
Beliau telah membuat inisiatif menghidupkan kembali semangat bapanya dengan membuka gerai untuk mempamerkan karya-karya buku yang pernah ditulis mendiang dalam Pesta Benak 2023 yang sedang berlangsung kini.
Tambahnya, dengan menulis dan menjual buku bahasa Iban bukan sahaja dapat didokumentasikan, tetapi boleh menjadi rujukan untuk generasi akan datang.
“Memperkasakan pemeliharaan Bahasa Iban dimana ia akan menyumbang kepada kekayaan kepelbagaian bahasa dan kekal kuat dalam warisan budaya Malaysia,” katanya.



