Pelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum – Tiong

BINTULU: Perpaduan kaum yang telah dipupuk sejak sekian lama harus dikekalkan dalam mewujudkan persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata perpaduan dan keharmonian kaum mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan mahupun bangsa dan agama mereka.

Beliau berkata dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu, kita perlu bertolak ansur dan menghormati pegangan agama dan adat resam orang lain, kerana ia merupakan inti pati merintis ke arah perpaduan kaum, ujarnya.

Semangat muhibbah dan kehidupan yang sejahtera membolehkan rakyat di negara ini menjalankan kehidupan dengan lebih sejahtera tanpa sebarang gangguan yang boleh menimbulkan konflik atau kekacauan, tegasnya.

Justeru katanya amat penting setiap rakyat berusaha mengekalkan persefahaman, kesejahteraan dan hubungan yang harmoni agar ikatan perpaduan masyarakat terus kukuh dan keamanan dapat dinikmati sampai bila-bila.

Tiong berkata demikian semasa berucap mengunjungi rumah panjang, Lunsa anak Panto, Sungai Lalang, Tatau, hari ini.

Kunjungan tersebut antara lain bertujuan untuk berkongsi kegembiraan menyambut kedatangan perayaan Gawai Dayak yang bakal tiba.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mendengar setiap permasalahan yang dikemukakan oleh penduduk rumah panjang yang dikunjungi sekaligus berjanji untuk membantu mencari jalan penyelesaian.

Pada kunjungan tersebut, Ahli Parlimen Bintulu itu turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM70, 000.00 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar(RTP) bagi menarik taraf rumah panjang berkenaan.