SEKUAU: Seni pantun Iban perlu terus dipelihara dan diperkasakan sebagai khazanah warisan budaya yang mencerminkan identiti masyarakat Dayak, selain diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan ia terus kekal relevan merentasi zaman.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Petrus Igat Mathias, berkata usaha memartabatkan seni pantun Iban dan pelbagai main asal memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat agar warisan berkenaan tidak luput ditelan arus pemodenan.

Beliau berkata generasi muda perlu diberi lebih banyak pendedahan dan peluang untuk mempelajari seni tradisi kerana merekalah yang bakal menjadi penyambung legasi budaya masyarakat Iban.
“Saya berharap lebih ramai golongan muda meminati dan mendalami main asal kerana mereka merupakan pewaris kepada khazanah budaya kita. Penyertaan belia yang begitu memberangsangkan dalam bengkel ini membuktikan warisan budaya masih mempunyai tempat dalam kalangan generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, merasmikan Bengkel Ngerembaika Pantun Iban 2026 di Rumah Rantai, Skim Gempuru, Sekuau, semalam.
Petrus turut menggesa lebih banyak NGO, persatuan budaya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang menganjurkan program berteraskan warisan budaya bagi memperluaskan usaha pemuliharaan seni tradisi masyarakat Iban.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan geran sebanyak RM10,000 daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada Persatuan Bakat Dayak Sarikei sebagai sokongan terhadap usaha memelihara dan mengembangkan warisan budaya masyarakat Dayak.
Bengkel kali kedua anjuran Persatuan Bakat Dayak Sarikei dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak itu berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai, menghimpunkan kira-kira 250 peserta.
Selain sesi perkongsian mengenai seni pantun Iban, peserta turut didedahkan dengan pelbagai main asal masyarakat Iban seperti Sanggai, Bebiau, Ngajat, Naku Buah Inyak dan Gendang Pampat sebagai usaha memperkukuh kefahaman serta kecintaan terhadap warisan budaya.
Turut hadir Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Datu Dr Neilson Ilan Mersat, dan Pengerusi Persatuan Bakat Dayak Sarikei, Asat Nawin.

