KUCHING: Peluang calon muda dan muka baharu untuk menembusi gelanggang politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) dilihat semakin tipis sekiranya majoriti penyandang, termasuk dalam kalangan menteri, masih mahu mempertahankan kerusi masing-masing.
Pemerhati politik Jaya Ramba berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perubahan generasi yang pernah diberikan isyarat oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, benar-benar akan diterjemahkan dalam pemilihan calon PRN13.
Menurut Ahli Lembaga Penasihat Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) itu, nasihat Abang Johari supaya mana-mana menteri yang merasakan dirinya tidak dicalonkan semula perlu ‘sedar’ wajar dilihat sebagai isyarat bahawa perubahan dalam barisan kepimpinan GPS sedang dipertimbangkan.
“Secara jujurnya, belum kelihatan gelombang besar menteri sedia ada tampil menyatakan kesediaan untuk berundur bagi memberi ruang kepada muka baharu, kecuali Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang pernah menyatakan kesediaannya untuk tidak mempertahankan kerusi dalam keadaan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jaya yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Piasau berkata, jika hampir semua penyandang masih mahu bertanding, ruang untuk calon muda dan tokoh baharu dalam GPS secara semula jadi menjadi semakin terhad.
Jelas beliau, keputusan untuk menukar atau mengekalkan seseorang calon lazimnya mengambil kira pelbagai faktor termasuk prestasi, usia, kesihatan, penerimaan rakyat, pengalaman serta keperluan penyegaran kepimpinan.
Tambah beliau, kesinambungan kepimpinan tidak semestinya bermaksud mengekalkan semua wajah lama kerana pengalaman pemimpin terdahulu boleh dipindahkan kepada generasi baharu melalui peranan sebagai mentor, penasihat atau tokoh rujukan.
Jaya turut melihat 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu sebagai peluang strategik untuk GPS melahirkan lebih ramai pemimpin muda, bukannya sekadar ruang memindahkan penyandang sedia ada atau menyelesaikan pertikaian dalaman parti.
Katanya, kemampuan bekerja, integriti, hubungan dengan masyarakat, rekod perkhidmatan, kematangan, keberanian menyelesaikan masalah dan potensi membawa suara kawasan ke DUN perlu menjadi antara ukuran utama.
Tegas Jaya, suara rakyat juga wajar diberikan perhatian lebih besar dalam proses pemilihan calon kerana kemenangan pada PRN akhirnya ditentukan oleh pengundi, bukan struktur parti semata-mata.
Katanya lagi, PRN13 seharusnya menjadi medan untuk mengimbangi pengalaman dan pembaharuan, selain memastikan generasi muda tidak sekadar berperanan sebagai penggerak jentera pilihan raya, tetapi turut diberikan ruang untuk memimpin dan membuat keputusan.

