SARIKEI: Masa depan lebih cerah menanti anak Sarawak apabila mereka kini mempunyai lebih banyak peluang melanjutkan pengajian tinggi menerusi 64 program yang ditawarkan di empat institusi milik kerajaan negeri di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif itu memberi ruang lebih luas kepada generasi muda Sarawak untuk memperoleh pendidikan berkualiti tanpa terlalu dibebani kos pengajian tinggi.
Beliau berkata, penyediaan peluang pendidikan yang lebih mudah diakses juga penting dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong perkembangan ekonomi dan keperluan industri negeri pada masa depan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan kerana modal insan berkualiti adalah antara asas utama untuk memastikan negeri ini terus berkembang dan berdaya saing.
“Usaha ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MADANI Sarikei, di sini, hari ini.
Huang berkata, empat institusi pengajian tinggi terbabit ialah Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS yang menawarkan pelbagai bidang pengajian untuk dipilih pelajar.
Menurutnya, kepelbagaian program berkenaan membolehkan pelajar membuat pilihan berdasarkan minat, kebolehan dan bidang yang mempunyai prospek pekerjaan serta selari dengan keperluan industri.
“Kita mahu anak Sarawak bukan sahaja mendapat peluang melanjutkan pengajian, tetapi turut dibekalkan ilmu dan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Karnival Pendidikan MADANI Sarikei sebagai platform penting untuk mendedahkan pelajar dan warga pendidik kepada pelbagai pilihan pengajian tinggi, selain mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan serta prospek kerjaya.
Katanya, agenda memperkukuh pendidikan memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti, institusi pengajian tinggi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan supaya pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Huang menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei bagi membantu pelaksanaan program pendidikan dan pembangunan pelajar, sekali gus
menyokong usaha meningkatkan mutu pendidikan di peringkat daerah.



